Timbalan Presiden Umno yang digantung jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara pemimpin parti itu yang hadir pada Deklarasi Anti-Najib yang dijadualkan bermula pada jam 3.30 petang ini.

Turut kelihatan adalah beberapa pemimpin PAS, termasuk pengarah pilihanrayanya, Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Khairuddin Aman Razali.

Mustafa yang juga adalah bekas setiausaha agung PAS ketika ditemui berkata kehadirannya adalah atas kapasiti individu dan bukannya mewakili parti Islam itu.

"Saya datang sini secara peribadi. Jemputan atas nama saya," katanya kepada Malaysiakini sambil tersenyum.

Mustafa juga berkata beliau tidak bimbang akan dikenakan tindakan parti kerana menghadiri perjumpaan hari ini.

"Perkara itu tidak berbangkit. Tak adalah (dipanggil).

"Saya datang sebab saya dijemput atas nama saya," katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak akan menyertai sebarang himpunan bagi mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya.

Beliau dipetik sebagai berkata beliau anti Umno tetapi bukan anti orang Umno.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan pula membela Abdul Hadi dengan berkata, tindakan itu menepati kriteria budaya politik matang yang sedang diterajui PAS.

Selain pemimpin PAS, kelihatan beberapa pemimpin parti serpihannya, AMANAH.

Mereka termasuk Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Datuk Mujahid Yusof Rawa dan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Hadir sama adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak mereka, Datuk Seri Mukhriz.

Pemimpin utama PKR dan DAP juga hadir sama. Mereka termasuk Datuk Seri Azmin Ali, Shamsul Iskandar, Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Teresa Kok.