AG tolak permohonan Arul untuk gugur tuduhan hasutan
Permohonan ahli jawatankuasa PSM, S Arutchelvan untuk menggugurkan pertuduhan hasutan terhadapnya, telah ditolak oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Arutchelvan berkata beliau dukacita dengan keputusan Peguam Negara untuk meneruskan kes tersebut kerana mendakwa ia adalah satu pembaziran wang rakyat, tetapi berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata dakwaan di bawah akta hasutan itu "adalah satu keputusan politik di mana ia harus ditangani melalui proses politik".
Arutchelvan turut membidas parti pemerintah dengan mendakwa ia menggunakan sistem perundangan demi untuk kepentingan mereka dan bukan untuk kepentingan negara dan rakyat.
Peguamnya New Sin Yew, katanya, akan memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi memandangkan ada persoalan undang-undang bagaimana satu kenyataan parti boleh dijadikan satu tuduhan kes hasutan terhadap individu.
Mereka telah menghantar surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara bertarikh 22 Januari dan telah menerima jawapan melalui surat bertarikh 23 Februari.
Menurut surat itu, selepas pertimbangan yang teliti dan pemeriksaan kertas siasatan dan surat representasi dari peguam Arutchelvan, permohonan untuk menggugurkan pertuduhan hasutan terhadapnya, telah ditolak.
Oleh itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, hakim Amiruddin Ahmad menetapkan tarikh perbicaraan dari 13 hingga 17 Jun.
Arutchelvan didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan di laman Facebook beliau mengenai satu kenyataan akhbar mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat kedua terhadap bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

