ULASAN Dewan Pemuda PAS menyokong pandangan PAS Pusat melalui kenyataan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan yang mencadangkan parlimen dibubarkan bagi memberikan laluan kepada pilihan raya umum.

Ia langkah terbaik bagi menyerahkan semula mandat rakyat bagi menggantikan kerajaan pusat yang hari ini terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan.

Hari ini terdapat pelbagai isu ekoran kegawatan ekonomi, isu 1MDB, isu derma RM2.6 bilion, kejatuhan nilai mata wang negara dan yang terbaru ialah dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa beliau ditunjukkan bukti terhadap jenayah yang didakwa dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia benar-benar meresahkan rakyat di negara ini. Perlu diingatkan bahawa rakyat berhak mempunyai sebuah kerajaan yang lebih baik dan stabil untuk menyelesaikan segala permasalahan ini.

Walaupun tempoh parlimen dengan sendirinya boleh terbubar setelah genap tempoh masa lima tahun, tetapi akibat kegawatan tanpa kawalan hari ini, pembubaran parlimen adalah langkah terbaik dan berkesan dalam menangani kemelut berpanjangan ini.

Langkah membubarkan parlimen apabila menghadapi krisis kepercayaan bukanlah satu perkara baru dalam amalan demokrasi dunia.

Dari Sri Lanka hingga Jepun

Pada tahun 2001, presiden Sri Lanka pada masa itu, Chandrika Kumaratunga pernah membubarkan parlimen sekali gus mengarahkan supaya pilihan raya baru diadakan selepas menghadapi krisis kepercayaan daripada sebahagian anggota parlimen.

Di Jepun pada November 2014, perdana menterinya, Shinzo Abe pernah membubarkan Dewan Rendah Parlimen Jepun secara mengejut bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum bulan berikutnya dalam usaha mendapatkan mandat baharu terhadap kerajaannya yang dihimpit skandal.

Ia dilakukan hanya selepas dua tahun Shinzo Abe menjadi perdana menteri.

Demikian juga di Thailand, pada Disember 2013, perdana menterinya pada masa itu, Yingluck Shinawatra mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya negara itu bagi menenangkan krisis politik yang semakin parah.

Yingluck menunjukkan ‘kejantanannya’ mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat sekali gus mencabar penentangnya berhadapan dalam pilihan raya secara demokrasi dan bukannya melalui jalan raya.

Justeru, Pemuda PAS menuntut agar perdana menteri yang juga presiden Umno menyedari denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan segala bebanan hidup dan krisis yang berlaku dalam kerajaan akibat pertembungan dalaman Umno.

Bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pembubaran parlimen hanya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri sewajibnya mengadap dan mengemukakan cadangan ini untuk diperhalusi baginda.

Kegagalan perdana menteri untuk bertindak menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk urusan ini hanya akan menambahkan lagi masalah yang sedang berlaku di negara ini.

Rakyat akan terus menerus dihimpit oleh pelbagai tekanan hidup manakala imej pimpinan negara akan terus merudum dengan pelbagai skandal yang berlaku.


AHMAD FADHLI SHAARI ketua penerangan Pemuda PAS.