Siswa tiga IPT bantah Sekolah Wawasan
Pelajar Cina di tiga buah universiti tempatan hari ini mengadakan kempen tanda tangan bagi membantah cadangan kerajaan untuk menubuhkan Sekolah Wawasan.
Pelajar di Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia (foto bawah) dan Universiti Sains Malaysia (foto sebelah) berjaya mengumpul kira-kira 500 tanda tangan dalam kempen yang dilancarkan serentak jam 12 tengahari tadi.
Kempen itu bagaimanapun diadakan di luar kawasan universiti masing-masing.
Sebelum ini pelajar di dua buah kolej swasta turut membantah projek percubaan Kementerian Pendidikan itu.
Beberapa ratus pelajar di Kolej Tunku Abdul Rahman, Setapak "berkempen secara senyap" dengan memakai baju-T berwarna hitam, sementara pelajar di Kolej Era Baru (New Era College), Kajang menganjurkan dialog dan mengedarkan risalah kepada rakan-rakan mereka.
Mereka bagaimanapun belum menjalankan kempen tanda tangan.
Kumpulan pelajar dari tiga universiti itu yang menggelarkan diri mereka "Gagasan Anti-Sekolah Wawasan IPT Semenanjung" mengeluarkan kenyataan bersama yang menggesa pelajar bersatu bagi membantah usaha kerajaan tersebut.
"Satu referendum (pungutan suara) perlu diadakan jika projek ini masih diteruskan," kata kenyataan itu lagi, yang turut diedarkan kepada orang ramai untuk tujuan kempen tersebut.
"Pelaksanaan Sekolah Wawasan yang mengabaikan pandangan pakar-pakar pendidikan perlu dibatalkan."
Mereka juga menggesa sekolah aliran-aliran Cina, Tamil dan agama (Islam) perlu digalakkan supaya dapat mencapai satu dasar pendidikan yang pelbagai.
Wakil pelajar Universiti Malaya yang menyertai kempen itu, Ng Wei Aik berkata garis panduan berhubung Sekolah Wawasan sentiasa berubah-ubah dan Menteri Pendidikan mempunyai kuasa penuh berhubung projek tersebut.
Beliau menjelaskan kempen tanda tangan akan diteruskan dalam tempoh sebulan bagi mendapat sokongan pelajar kaum-kaum yang lain.
"Kita akan meneruskan kempen kesedaran ini supaya semua pihak mendapat maklumat berhubung isu ini," jelas Ng kepada malaysiakini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.