Esok menjadi ulang tahun kedua kehilangan pesawat MH370. Namun Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata masih banyak soalan yang tidak dijawab, walaupun lebih 20 negara terlibat dalam pencarian sejak dua tahun lepas.

Sim dalam satu kenyataan hari ini berkata, persoalan berkisar hal-hal keselamatan negara serta kebimbangan yang mendalam oleh keluarga mangsa.

Pada masa yang sama, beliau juga mendakwa kerajaan BN enggan menjawab sebarang soalan yang ditanya mengenai pesawat Boeing-777 itu, sama ada di dalam dan di luar parlimen.

Antara lain, Sim berkata soalan parlimen pada Jun 2014 terhadap kecuaian tentera kerana tidak mengambil tindakan walaupun mengesan MH370 di laluan salah, ditolak atas alasan 'rahsia'.

"Saya telah berulang kali menggesa supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai isu ini dengan pandangan menerbitkan kertas putih mengenai krisis penerbangan yang menjejaskan bukan hanya Malaysia dan rakyat Malaysia tetapi mempunyai implikasi global.

"Saya (juga) menggesa supaya disiarkan keputusan oleh semua pihak berkuasa yang terlibat dalam penyiasatan - termasuk Jabatan Penerbangan Awam, tentera, polis serta pasukan siasatan bersama," katanya dalam menunjukkan bahawa setakat ini hanya terdapat satu Laporan Interim diterbitkan satu tahun selepas kejadian itu.

"Terutamanya kebimbangan siasatan polis khususnya pada kapten juruterbang Zahrie Shah, memandangkan dia telah terbabit beberapa kali sebagai 'ketua suspek' oleh pihak polis.

"Kerajaan perlu menyediakan jawapan yang jelas kepada dakwaan-dakwaan yang serius bagi membersihkan nama juruterbang dan keluarganya jika dia tidak bersalah," tekannya.

[Baca berita penuh]