Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Abdul Aziz Kaprawi menggesa lantikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ditarik balik.

Ini, kata timbalan menteri pengangkutan itu, termasuk kemudahan elaun diterimanya, susulan mengetuai deklarasi menolak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama pemimpim pembangkang baru-baru ini.

“Tun Mahathir telah melepasi garisan merah (melepasi had) apabila bergabung dengan pembangkang.

“Jadi, segala lantikan GLC seperti di Petronas, Proton, Yayasan Kepimpinan Perdana dan lain-lain yang membolehkan Tun M mendapat elaun serta kemudahan perlu ditarik balik,” tegas Aziz kepada Malaysiakini .

Beliau berkata demikian ketika ditanya reaksi yang boleh diambil terhadap Mahathir susulan tindakan terbaru beliau.

Jumaat lalu, Mahathir, perdana menteri keempat, mengetuai kumpulan lebih 50 orang pemimpin pembangkang – termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR – dan NGO dalam “Deklarasi Rakyat”.

Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Dr Mahathir masih memegang jawatan dalam Proton dan Petronas sebagai penasihat sungguhpun beliau kini sudah tiada kaitan dengan Umno atau BN setelah mengumumkan keluar parti 29 Februari lalu.

Lihat Komen
ADS