Majlis Tertinggi (MT) Umno perlu mengambil tindakan segera terhadap Timbalan Presidennya yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kata salah seorang anggotanya.
Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, tindakan kedua-dua pemimpin itu terlibat dalam Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan perdana menteri Jumaat lalu jelas melanggar perlembagaan Umno.
Ditanya, apakah 'tindakan' itu bermaksud kedua-duanya dipecat, Aziz berkata:
“Ya, tindakan terhadap Muhyiddin dan yang lain (Mukhriz) perlu diambil segera kerana mereka ini seolah-olah boleh buat sesuka hati mereka tanpa menghiraukan perlembagaan serta peraturan etika parti.
“Maknanya Muhyiddin dan Mukhriz perlu diambil tindakan demi menjaga kedaulatan parti. Tiada siapa yang boleh mengatasi perlembagaan peraturan parti,” kata Aziz kepada Malaysiakini.
Aziz mendakwa langkah diambil kedua-dua pemimpin itu seolah-olah memperlihatkan Umno membenarkan mereka bertindak sesuka hati tanpa menghiraukan peraturan.
“Tiada siapa yang boleh mengatasi perlembagaan dan peraturan parti,” katanya sambil menambah tindakan sama juga perlu diambil terhadap mana-mana anggotanya yang melanggar disiplin.
Jumaat lalu, Muhyiddin dan Mukhriz bersama lebih 50 tokoh menandatangani Deklarasi Rakyat, yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak.
'Tidak boleh dimaafkan'
Sementara itu seorang lagi anggota MT Umno, Datuk Puad Zarkashi berkata, beliau sendiri akan mencadangkan usul agar Muhyiddin dan Mukhriz dipecat.
Memetik laporan The Star Online , bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, penyertaan mereka dalam deklarasi untuk menyingkirkan perdana menteri ‘tidak boleh lagi dimaafkan’.
“Mereka harus dipecat. Kali ini, saya sendiri akan mencadangkannya kepada Majlis Tertinggi,” katanya.
Setiausaha BN Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata tindakan kedua-dua pemimpin parti itu bersekongkol dengan pembangkang boleh menghancurkan masa depan Umno.
"Sewajarnya ambil tindakan kerana perbuatan ini boleh menghancurkan parti.
"Lembaga disiplin tahu tindakan bagaimana harus diambil, sama ada pecat atau gantung terpulang kepada mereka tetapi kena ambil tindakan. Ambil tindakan terhadap Muhyiddin dan Mukhriz," kata ADUN Semenyih itu kepada Malaysiakini .
Muhyiddin digantung daripada jawatannya sebagai timbalan presiden Umno sehingga pemilihan parti akan datang, manakala Mukhriz masih kekal sebagai ahli Umno.
