Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyifatkan masih terlalu awal untuk parti melaksanakan program pemutihan bagi membersihkan ahlinya yang tidak sehaluan dengan kepimpinan yang membela nasib Melayu itu.

Sebaliknya, beliau berkata sekiranya ahli parti bertindak keterlaluan, mereka seharusnya mengambil ketetapan untuk keluar parti.

“Kita sokong cadangan ketua Pemuda Perlis itu, tetapi buat masa sekarang ini terlalu cepat untuk buat sebarang keputusan.

“Malah, sekarang ini kita perlu tunggu dan lihat terlebih dahulu sejauh mana ahli-ahli yang perlu menjalani program pemutihan itu serta sejuah mana penglibatan mereka dan kalau sudah keterlaluan, kita minta mereka keluar parti dahulu,” katanya kepada Malaysiakini.

Zahidi berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pergerakan Pemuda Umno Perlis supaya Majlis Tertinggi mempertimbangkan program pemutihan bagi membersihkan parti itu daripada individu yang tidak sehaluan serta tidak taat setia kepada pucuk pimpinan.

Ketua pergerakan itu, Syed Atif Syed Abu Bakar dipetik sebagai berkata usaha itu perlu memandangkan Umno telah melalui fasa perpecahan sehingga parti itu diharamkan dan membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46.

Katanya tindakan seperti itu penting kerana selepas Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno, bekas perdana menteri itu mengheret sama beberapa pemimpin yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur.

Sementara itu, beberapa pemimpin Umno Perlis yang dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut cadangan berkenaan kerana bimbang kenyataan mereka akan mengeruhkan keadaan sedia ada parti.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas apakah cadangan tersebut timbul ekoran tindakan Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang, Zahidi yang juga adalah ketua bahagian Umno Padang Besar menegaskan adalah lebih baik mereka yang terlibat keluar parti.

“Bila Mahathir keluar parti mungkin ada di kalangan mereka yang ingin menyertai beliau, macam ahli cawangan dan kita juga ada ketua-ketua cawangan yang tidak bersetuju dengan apa yang berlaku dalam Umno sekarang.

“Jadi, kalau boleh, adalah lebih baik mereka yang tak bersetuju ini, letak jawatan,” kata Zahidi.