'Titah Agong mungkin dituju pada Umno'
Titah Yang di-Pertuan Agong agar wakil rakyat menghentikan politik sempit dan fitnah mungkin ditujukan kepada pemimpin Umno, kata Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Shamsul berkata, saranan baginda mungkin dibuat berikutan kemelut politik yang melanda Kedah dengan menyaksikan penukaran menteri besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bulan lalu.
"Mungkin titah Agong itu menjurus kepada pemimpin Umno kerana kita maklum sebelum sidang Dewan Rakyat terdapat isu politik yang besar di Kedah kerana menteri besar ditukar.
"Sudah tentu (Agong tuju perkara itu kepada Umno) kerana sebagai Agong yang berasal dari Kedah, pada saya mesej itu dituju khas pada pemimpin daripada BN, Umno," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Anggota parlimen Bukit Katil itu berkata lagi, sebagai wakil rakyat beliau turut menghormati pandangan yang dititah oleh Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
"Kita (pembangkang) tak pernah bawa isu-isu politik dalam Dewan Rakyat. Yang kita bawa ialah isu berkaitan negara dan kepentingan rakyat," katanya.
Semalam, Tuanku Abdul Halim menggesa supaya penggubal undang-undang untuk henti berpolitik serta menyatakan hasrat supaya pentadbiran yang ada kini diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Baginda turut bertitah supaya perbuatan fitnah dan tindakan menjatuhkan antara satu sama lain perlu dielakkan.

