Pak Din tidak kesal ditahan ISA
Aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Badaruddin Ismail yang baru dibebaskan daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini "tidak kesal" ditahan selama 40 hari di bawah akta itu.
"Saya dapat agak bahawa saya akan dibebaskan. Saya tahu akan dibebaskan kerana mereka tidak mempunyai sebarang alasan untuk menahan saya," katanya kepada malaysiakini di rumahnya, dua jam selepas dibebaskan jam 2 petang tadi.
Badaruddin, juga dikenali dengan nama Pak Din, dibebaskan tanpa syarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan disambut isteri, tiga anaknya dan cucu-cucunya.
Kelihatan pucat dan berambut pendek, Pak Din bermain-main dengan cucunya sambil berbual-bual dengan beberapa kenalannya, termasuk aktivis Suaram, di depan pintu masuk IPK.
"Mereka (polis) menjalankan soal siasat dengan profesional dan saya tidak didera dalam tahanan. Saya tidak dipaksa membuat sebarang pengakuan," katanya, apabila pengalamannya ditahan.
"Saya dikurung dalam bilik berukuran 8 kaki dan 9 kaki. Sistem aliran udara mencukupi, dan makanan yang disediakan juga baik," katanya.
Tambahnya, soal siasat berjalan selama tiga hingga enam jam dengan masa rehat bermula beliau ditahan sehingga sehari selepas lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Badan hak asasi itu melawat 10 tahanan ISA pada 29 Mei lalu.
Pak Din memberitahu, apabila ditanya pesuruhjaya Suhakam Tan Sri Anuar Zainal Abidin bagaimanapun beliau masih boleh bergurau walau ditahan, aktivis Suaram itu berkata: "Saya seorang yang optimis dan berfikiran positif."
Apabila ditanya sama ada beliau akan meneruskan kegiatannya sebelum ini, Pak Din berkata beliau akan berehat sebelum mengambil sebarang keputusan.
Dua lagi aktivis reformasi, Dr Badrul Amin Bahron dan Lokman Noor Adam, masih belum diketahui nasib mereka, sama ada dibebaskan atau ke kem Kamunting, walau masing-masing ditahan 46 dan 42 hari.
Empat telah dibawa ke kem tahanan lanjutan di Perak selama dua tahun pada Sabtu lalu. Mereka adalah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais
Sementara aktivis Pemuda N Gobalakrishnan dan Abdul Ghani Haroon, serta pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin dibebaskan minggu lepas.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.