Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak akan menarik balik kenyataannya berhubung titah ucapan Yang di-Pertuan ucapan Yang Agong dan mengulangi sokongan pembangkang kepada Raja-Raja Melayu di negara ini.

"Saya hanya ulas kedudukan baginda sebagai raja berperlembagaan di negara ini daan tidak ada lain (niat jahat kepada baginda).

"Kami (pembangkang) dengan jelas menyatakan bahawa kami menyokong monarki," katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara hari ini.

Semalam, Seri Paduka pada titah ucapan ketika merasmikan pembukaan sidang parlimen keempat penggal ke-13 di Kuala Lumpur menyatakan hasrat supaya pentadbiran yang ada kini diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Yang di-Pertuan Agong juga menggesa ahli-ahli parlimen supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama hingga melelahkan rakyat dan kerajaan.

Lim kemudian mendakwa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hanya membacakan ucapan yang disediakan oleh kerajaan manakala Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga tidak bersetuju dengan seruan kerajaan itu.

Sehubungan itu, tiga individu hari ini membuat laporan polis terhadap Lim, Mohamad dan Malaysiakini .

Dalam satu kenyataan media kemudiannya, Lim menuduh ketiga-tiga individu berkenaan membuat laporan polis palsu terhadap dirinya dan menggesa polis supaya menyiasat tindakan mereka

"Ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan jenayah, terutamanya di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum enam bulan penjara, atau denda RM2,000 atau kedua-duanya kerana memberi 'maklumat palsu' dalam membuat laporan palsu," katanya.

[Baca berita penuh]