Mengenakan sekatan ke atas portal media tidak lagi begitu berkesan seperti sebelum ini dan sebaliknya hanya akan memakan diri kerajaan, kata seorang pakar media sosial hari ini.

Merujuk kepada sekatan ke atas portal The Malaysian Insider , penasihat Social Media Chambers Malaysia, Stephen Doss berkata terdapat cara lebih baik yang boleh diguna-pakai kerajaan daripada terus mengharamkan portal berkenaan.

"Internet hari ini bukan lagi seperti apa sebelum ini. Insider masih boleh diakses melalui laman laman alternatif dan juga melalui Facebook.

"Saya tidak percaya dalam mengharamkan laman berita. Saya percaya dalam menguruskan kandungan dan persepsi berita itu," katanya ketika berucap semasa Minggu Media Sosial Malaysia di Cyberjaya hari ini.

Daripada menutup mulut media, Doss berkata kerajaan sebaliknya perlu memberi tumpuan menangani dakwaan yang disiarkan jika benar-benar percaya bahawa laporan itu adalah tidak tepat atau mengelirukan.

"Jika kita tidak mampu untuk menangkis tuduhan itu, maka mungkin ada lebih kebenaran daripada tuduhan dusta itu," katanya.

Pada masa yang sama, Doss mendakwa bahawa dalam mengawal-selia Internet, pihak berkuasa juga bekhidmat kepada orang yang sama yang mentadbir mereka.

"Sebab itu sesetengah orang boleh terlepas dengan berbilion-bilion ringgit yang dianggap rasuah manakala yang lain pula didakwa kerana sekadar mencuri tiga biji kelapa," katanya.

[Baca berita penuh]