Kelantan kaji sebat penzina di khalayak umum
Kerajaan Kelantan dilapor menyokong cadangan seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu supaya penzina disebat di khalayak umum selepas solat Jumaat.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata cadangan itu baik kerana dapat memperkenalkan undang-undang hudud secara perlahan-lahan di negeri itu.
Bagaimanapun, katanya lagi, pelbagai isu akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil, lapor The Star Online .
“Cadangan ini baik tetapi memerlukan banyak kajian dan saya percaya ia boleh dilakukan kerana Aceh (di Indionesia) telah laksanakan hukuman sebegini,” katanya.
Datuk Hassan Mahmood (Pas-Tawang) semalam menyarankan kerajaan negeri mempertimbangkan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah yang melakukan persetubuhan haram sebagai langkah pencegahan serta menginsafkan rakyat.
Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan itu juga menyentuh mengenai hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang perlu diteruskan, bukan sahaja dalam aspek pembangunan tetapi juga hudud.
Beliau mengesyorkan hukuman itu dilakukan pada hari Jumaat, dan lebih baik jika dilaksanakan di hadapan masjid.
Katanya, terdapat kes menyaksikan seorang pesalah disebat enam kali di dewan mahkamah bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995, Sabah, pada 29 September tahun lalu dengan disaksikan 40 jemputan khas.
Sementara itu, exco agama negeri Datuk Nassurudin Daud pula berkata al-Quran menyebut bahawa orang-orang beriman boleh melihat hukuman sebab dijalankan dalam kes zina.
“Dalam al-Quran ada disebut orang mukmin boleh melihat hukuman sebat yang dijalankan.
“Oleh itu kita akan membuat kajian mengenai cadangan itu,” beliau dilapor sebagai berkata dalam sidang DUN hari ini oleh Harakahdaily .
Hukuman sebab bagi kesalahan syariah sebelum ini dijalankan di penjara.

