Pemimpin Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Datuk Seri Ramesh Rao Krishnan Naidu hari ini membuat laporan polis bagi menangkis laporan yang difailkan oleh bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadapnya.

Ramesh sebelum ini membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan gerakan 'Selamatkan Malaysia' kerana didakwa cuba menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui cara yang tidak demokratik.

Semalam, Khairuddin memfailkan laporan terhadap Rao atas dakwaan menggesa pihak polis untuk menangkap dan memukul Dr Mahathir.

“Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah untuk menafikan semua kenyataan isi kandungan laporan polis yang dibuat oleh Khairuddin.

“Saya juga memohon pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas Khairuddin kerana membuat laporan polis yang palsu terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin membuat laporannya semalam berdasarkan satu artikel bertajuk 'Tangkap Dr Mahathir, tumbuk dia biar hilang gigi, dakwa Ramesh’ yang dikatakannya satu ugutan untuk mencederakan bekas perdana menteri itu.

Selepas memeriksa rakaman kenyataannya di mana artikel itu dipetik, Ramesh berkata beliau tidak pernah menyebut bahawa dia akan mencederakan Mahathir.

“Saya hanya menyebut: Jadi saya walk the talk la. Mahathir, dia kata Anwar yang buat salah. So, sekarang saya buat laporan polis mengatakan Mahathir salah.Tangkap Mahathir masuk dalam 14 hari

“Biar kena pukul macam saya kena pukul, sampai gigi semua hilang!” kata Ramesh.

Dalam laporan polisnya, Khairuddin berkata beliau percaya Ramesh mengugut dengan niat untuk mencederakan Dr Mahathir.

[Baca berita penuh]