Kedudukan nilai ringgit yang masih rendah berbanding mata wang asing menyebabkan kerajaan tidak dapat mengurangkan kadar tarif elektrik negara walaupun kos bahan api dunia turun mendadak.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kemerosotan nilai ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar AS menyebabkan kos bahan api dalam RM masih tinggi.

"Sungguhpun bahan api seperti minyak mentah, arang batu dan gas di pasaran dunia menurun, kemerosotan nilai RM berbanding dolar AS begitu ketara menyebabkan kerajaan tidak dapat terjemahkan dalam kadar tarif elektrik yang lebih rendah," katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) yang bertanya kenapa tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak turun walaupun harga bahan bakar bagi menjana elektrik seperti petroleum, gas dan arang batu telah turun mendadak.

Dr Maximus berkata, semakan semula tarif elektrik juga tidak dibuat memandangkan kerajaan telah menetapkan kadar tarif asas iaitu 38.53sen/kWj sehingga 31 Disember 2017.

"Maka sebarang semakan semula tarif elektrik sehingga tarikh tersebut adalah hanya bagi menyelaraskan kos bahan api dan kos penjanaan bekalan elektrik,"katanya.

Bagaimanapun, Dr Maximus menolak dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menurunkan kadar tarif elektrik selaras dengan penurunan kos bahan api dunia.

Ini kerana kerajaan telah memberikan tiga kali rebat kepada pengguna tahun lalu dan tahun ini melalui mekanisme penjimatan hasil Perjanjian Jual Beli Tenaga (PPA) dan mekanisme semakan pelepasan kos bahan api dan penjanaan (ICPT).

Katanya, rebat sebanyak 2.25 sen setiap kilowatt/jam (kWh) telah diberi bagi tempoh 1 Mac hingga Jun tahun lalu melibatkan kos RM726 juta, manakala bagi tempoh Julai hingga Disember tahun sama, rebat dengan nilai yang sama diberikan melibatkan kos lebih RM1 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, pengguna akan menikmati rebat 1.52 sen setiap kilowatt/jam (kWh) yang melibatkan kos RM763 juta, katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai caj 1.6 peratus bagi penggunaan melebihi 300 kilowatt sebulan kepada tabung Tenaga Boleh Baru (TBB), Dr Maximus berkata kutipan tersebut adalah bagi menyokong usaha kerajaan untuk meluaskan penjanaan tenaga boleh baharu di Malaysia.

"Matlamat kita pada tahun 2020 kita berharap 2,000 megawatt tenaga akan dapat dijana bagi tujuan pembinaan pelembangan tenaga boleh baharu ini," katanya.

- Bernama