Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahan yang dijumpai di Aquaria di KLCC yang menjadi tempat pelancongan popular hari ini bukan bom.

"Siasatan awal polis terhadap dua botol di KLCC bukannya bahan letupan tetapi bahan uji kaji lampu yang ditinggalkan oleh penuntut sekolah.

"Uji kaji lampu dalam botol ini dinamakan Starlab oleh Petrosains kepada murid sekolah dan telah diberi kepada murid-murid sebagai cenderahati," katanya dalam twitter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainol Samah dalam kenyataan medianya berkata bahan dalam dua botol kaca yang dijumpai itu diletupkan dengan sekali letupan menggunakan robot Unit Pemusnah Bom (UPB).

"Pihak UPB telah memusnahkan kedua-dua botol kaca terbabit pada jam 19.56 malam dengan sekali letupan menggunakan robot UPB.

"Jalan Pinang serta keseluruhan kawasan sekitar KL Convex telah ditutup untuk laluan orang ramai dan kenderaan selama 10 minit sepanjang operasi dijalankan," katanya.

Menurut Zainol, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua botol kaca terbabit ditinggalkan oleh sekumpulan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya Bukit Beruntung selepas mengunjungi Petrosains Twin Tower.

Malah, katanya terdapat rakaman CCTV di dewan serbaguna di Aquaria yang menunjukkan beberapa pelajar wanita meninggalkan botol-botol berkenaan.

"Pihak Petrosains telahpun mengesahkan lawatan pelajar-pelajar ini dan projek sains yang dikendalikan oleh mereka," katanya.

Sebelum ini, Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Hang Tuah, Fuad Omar memberitahu Malaysiakini bahawa botol berkenaan berjaya diletupkan oleh robot yang dikendalikan oleh skuad pemusnah bom polis.

"Bom diletakkan dalam botol. Tiada kejadian yang tidak diingini," katanya ketika dihubungi.

Fuad berkata seorang pekerja pembersihan Aquaria KLCC ternampak botol tersebut pada kira-kira jam 5.30 petang dan meletakkannya berhampiran sebuah tong sampah berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Anggota keselamatan KLCC yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena kemudiannya menghubungi pihak polis, yang seterusnya menghantar skuad bom.

Pasukan Bomba dan Penyelamat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga semasa bahan itu diletupkan.

[Baca berita penuh]