ADUN Salor Datuk Husam Musa paling layak menggantikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sindir Naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd turut mempersoalkan mengapa Husam tidak bertanding jawatan tersebut dalam muktamar lalu memandangkan bekas Exco Kelantan itu antara calon yang paling “layak” menduduki tampuk kepimpinan PAS.

“Kenapa tidak Husam sahaja jadi presiden? Kenapa dia tidak bertanding (jawatan presiden)? Sepatutnya hari itu, dia yang bertanding sebab dia yang paling layak daripada semua (calon) dalam PAS,” kata beliau seperti dilapor Utusan Malaysia .

Mohd berkata demikian mengulas desakan Husam yang menuntut supaya Abdul Hadi meletak jawatan sebagai presiden.

Malah Husam mencadangkan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil alih kepimpinan sebagai presiden parti manakala Abdul Hadi pula perlu berundur dan menjadi Mursyidul Am atau Timbalan Mursyidul Am.

Menurut Husam, perkara itu pernah berlaku sebelum ini apabila bekas Presiden PAS, Yusof Rawa dilantik menjadi Mursyidul Am manakala jawatan pemangku presiden diberikan kepada Datuk Fadzil Mohd. Noor pada 1989.

Sementara itu, Mohd Amar ketika ditanya mengenai Husam yang telah melanggar peraturan parti dan bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk mengkritik kerajaan negeri berkata, perkara itu terpulang kepada jawatankuasa disiplin untuk membuat keputusan.

“Kita sudah tidak masuk campur tangan hal ini, semua laporan yang diperlukan PAS Kelantan sudah hantar. Bahagian kita sudah selesai dan sekarang kita menunggu keputusan jawatankuasa disiplin,” beliau dilaporkan sebagai berkata.