Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan beliau akan mengambil alih tugas-tugas Menteri Kewangan selepas Tun Daim Zainuddin melepaskan jawatan itu Jumaat lalu.
Menurut agensi berita Bernama , beliau juga akan mengambil alih jawatan Menteri Tugas-tugas Khas yang disandang Daim sejak 1998, jawatan itu dibentuk bagi menangani krisis ekonomi negara yang semakin memuncak.
Kedua-dua jawatan ini akan dipegang buat sementara waktu.
Sementara itu, petang tadi, Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Dr Awang Adek Hussin meletakkan jawatan rasminya dengan alasan "ingin terlibat secara aktif dalam politik."
Apabila ditanya spekulasi beberapa nama tokoh, termasuk Dr Awang Adek, yang bakal menggantikan Daim, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak tahu, saya akan tengok senarainya."
Turut disebut-sebut mengambil alih jawatan itu, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, anggota parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, dan Pengerusi Kumpulan Arab-Malaysian Tan Sri Azman Hashim.
