Berita Malaysiakini

Polis tahan 12 individu bantu kes gaduh di Johor

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Polis menahan 12 individu bagi membantu siasatan dalam kes pergaduhan di sebuah kelab malam di Jalan Datuk Abdullah

Tahir di Johor Bahru sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh yang mengesahkan kejadian itu berkata pergaduhan pada pukul 2.50 pagi itu berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan pengunjung kelab malam itu.

"Ketika pergaduhan, seorang lelaki berusia 38 tahun didapati telah cedera parah akibat tikaman menggunakan sebilah pisau lipat sepanjang 10 inci," kata beliau menerusi satu kenyataan, malam tadi.

Sulaiman berkata pergaduhan yang bermula antara dua kumpulan, terdiri daripada lapan hingga 10 orang pengunjung yang duduk di meja berasingan.

Hasil siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus apabila seorang dari kumpulan tersebut telah menyimbah air minuman ke arah seorang lelaki dari kumpulan meja yang lain.

"Perkara itu telah menimbulkan kemarahan. Keadaan me Bernjadi kelam kabut dan seterusnya berlaku pergaduhan besar, baling membaling botol dan kerusi antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata semasa dua kumpulan itu bergaduh dan bertumbuk beramai-ramai antara satu sama lain, salah seorang daripada mereka telah menikam mangsa dengan pisau lipat di bahagian perut sebelah kiri.

"Setelah ditikam, mangsa kemudian terbaring di lantai. Suspek kemudiannya mencabut pisau pada badan mangsa dan kemudiannya bergerak keluar dari kelab malam itu," kata Sulaiman.

Beliau berkata mangsa yang didapati cedera di bahagian perut, empat jari kanan hampir putus dan luka di sebelah kaki kiri itu, meninggal dunia pada hari yang sama ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

Selain itu, seorang lelaki berusia 22 tahun, yang tidak tahu menahu mengenai pergaduhan itu, turut tercedera di kepala dan luka-luka di badan apabila terkena balingan botol ketika keluar dari tandas kelab malam itu.

Dia kini stabil dirawat di hospital yang sama.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

- Bernama