Pengerusi Proton Holdings dilaporkan telah meletakkan jawatan kerana sehaluan dengan Penasihatnya, Dr Mahahtir Mohamad yang dikatakan terlalu banyak campurtangan dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Menurut akhbar Asian Wall Street Journal, Datuk Abu Hassan Kendut meletakkan jawatan awal minggu ini kerana beliau merasakan, Dr Mahathir, yang tidak mempunyai sebarang jawatan eksekutif, telah campurtangan dalam usaha menyusun semula syarikat bagi menghadapi saingan apabila sekatan perdagangan dihapuskan di Asia Tenggara.

Dr Mahathir telah dilantik sebagai Penasihat Proton pada April tahun lalu. Beliau bertanggungjawab mewujudkan syarikat tersebut pada tahun 1983 sebagai sebahagian daripada industri berat negara.

Akhbar tersebut memetik seorang pegawai kerajaan yang tidak disebut namanya, sebagai berkata, Abu Hassan menyerahkan surat perletakkan jawatannya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak cadangan lembaga pengarah Proton untuk menamatkan perkhidmatan Ketua Eksekutifnya Tengku Mahaleel Ariff.

Pada mulanya Abdullah telah meyokong keputusan untuk menggantikan Tengku Mahaleel, yang merupakan orang kuat Dr Mahathir, tetapi mengubah fikirannya selepas Mahathir meminta supaya Tengku Mahaleel dikekalkan, kata pegawai kerajaan berkenaan.

Masih berpengaruh

Perkembangan tersebut menunjukkan Dr Mahathir yang bersara dari jawatan Perdana Menteri pada bulan Oktober 2003, selepas 22 tahun berkuasa, masih berpengaruh dalam bidang politik dan korporat di Malaysia.

Pada bulan April, Abdullah berkata "(Dr Mahathir) sendiri telah berkata beliau hanya memberi nasihat dan dia tidak akan campurtangan dalam pengurusan Proton. Lembaga pengarah yang membuat kataputus."

Ditanya mengenai laporan tersebut, seorang jurucakap Proton berkata, pihak syarikat tidak mahu membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu.

Penguasaan Proton telah merosot dalam pasaran kereta tempat sejak tahun-tahun ke belakang ini kerana berdepan dengan saingan hebat dari syarikat automobil yang lain. AFP