Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kerjasama antara PAS dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN ) sebagai blok ketiga pembangkang sekadar satu lagi eksperimen baru.
Kata Annuar, kegagalan PAS mempertahankan kerjasama mengikut konsep tahaluf siyasi bersama DAP sebelum ini memang dapat diramal.
Katanya, PAS cuba mengorak langkah baru bersama IKATAN supaya terus kekal relevan bagi berhadapan pilihan raya umum ke -14 (PRU 14) kelak.
“Kita menghormati haluan PAS untuk mewujudkan blok baru dalam politik kerana setiap parti mempunyai strategi berbeza, namun apa yang penting adalah memastikan perpaduan masyarakat Melayu tidak terjejas.
“Jangan disebabkan kewujudan pakatan baru ini, Melayu tidak bersatu dan saling berbalah sehingga memberi peluang kepada segelintir pihak untuk menangguk di air keruh,” kata Annuar seperti dilapor Berita Harian .
Semalam PAS mengesahkan pembentukan blok baru pembangkang dengan mengadakan kerjasama dengan IKATAN.
Pada sidang akhbar itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, blok baru pembangkang itu akan menyatupadukan Melayu dan semua kaum lain di negara ini.
IKATAN diketuai bekas menteri dan ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Sementara itu Annuar berkata Umno akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang memperjuangkan kebajikan rakyat.
Justeru katanya, ‘perkahwinan’ baru PAS itu tidak akan menjejaskan hubungan berkenaan.
“Sehingga kini ada kerjasama yang kita lakukan dengan DAP Pulau Pinang untuk menarik pelabur kerana ia berteraskan konsep federalisme (hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri).
“Sehubungan itu, kerjasama Umno dan PAS untuk manfaat masyarakat menyeluruh, selain menjaga kemaslahatan (kepentingan) rakyat akan diteruskan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
