RM32 juta untuk DLP di 292 sekolah
Lebih RM30 juta telah dibelanjakan kerajaan untuk melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) di hampir 300 buah sekolah setakat ini, kata Kementerian Pelajaran Malaysia.
"Sehingga hari ini, sebanyak 292 buah sekolah telah melaksanakan DLP dan jumlah dana yang diperuntukkan bagi tahun 2015 dan 2016 adalah kira-kira RM32 juta," kata kenyataan kerajaan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari (DAP) hari ini.
Dalam soalannya Zairil ingin mendapatkan maklumat mengenai jumlah kos ditanggung kerajaan bagi pelaksanaan DLP setakat ini, serta jumlah sekolah telah melaksanakannya.
DLP membenarkan sekolah terpilih dan memenuhi kriteria ditetapkan untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris - selain bahasa Melayu - bagi beberapa mata pelajaran.
Sebelum sesebuah sekolah boleh melaksanakan DLP ia mesti memenuhi kriteria tertentu, seperti
- Sumber yang mencukupi.
- Kesediaan pengetua atau guru besar dan guru melaksanakan DLP
- Mendapat permintaan sokongan daripada ibu bapa
- Pencapaian sekolah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu menyamai atau lebih baik daripada pencapaian purata kebangsaan
DLP mendapat tentangan daripada aktivis bahasa Melayu kerana menganggap ia adalah jelmaan semula program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pelaksanaan PPSMI sebelum ini dibatalkan melalui pengumuman menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

