Kain rentang 'Guan Eng diktator' muncul di P.Pinang
Kain-kain rentang mendakwa DAP memerintah secara diktator muncul di beberapa bahagian di pulau dan Butterworth di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Tertera di kain rentang yang memaparkan gambar Ketua Menteri Lim Guan Eng yang juga Setiuasaha Agung DAP itu adalah tulisan "Kita tidak perlu diktator. PKR perlu mengkaji semula kerjasama dengan DAP dan PH (Pakatan Harapan)".
Di bahagian bawah kain rentang itu turut dipaparkan perkataan "Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (Pemuda PKR Pulau Pinang)".
Menurut wakil PKR Khairil Anuar Kamaruddin, empat daripada kain rentang tersebut telah dikesan setakat ini.
Pemuda PKR Pulau Pinang bagaimanapun menafikan sekerasnya mereka bertanggungjawab terhadap pemasangan kain rentang itu.
"Kain rentang ini adalah satu bentuk provokasi yang bertujuan untuk memusnahkan kerjasama di antara parti-parti komponen Pakatan Harapan, terutamanya, DAP dan PKR," kata kenyataan yang dikeluarkan ketuanya, Asrol Sani Abdul Razak.
"Mereka yang bertanggungjawab terhadap kain rentang itu juga berniat jahat memfitnah Pemuda PKR Pulau Pinang," katanya.
Asrol berkata taktik itu dilakukan oleh musuh pemuda PKR Pulau Pinang yang menunjukkan bahawa mereka kini bankrap idea dan tidak dapat menghadapi kepimpinan sayap parti itu.
"Mereka kelihatan tidak dapat berhadapan dengan kepimpinan Pemuda PKR negeri, yang kelihatan paling stabil pada masa ini," katanya.
Hubungan antara DAP dan PKR tercalar selepas Lim memecat dua ADUN PKR - Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) dan Ong Chin Wen (Bukit Tengah) - dari jawatan mereka sebagai pengarah dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Lim berkata kedua-dua mereka dipecat kerana beliau sebagai pengerusi GLC, telah hilang keyakinan dan kepercayaan selepas mereka mengundi satu usul di Dewan Undangan Negeri yang dicadangkan oleh Umno untuk menghentikan projek-projek penambakan.
Cheah dan Ong menegaskan mereka mengundi usul berkenaan demi kepentingan umum kerana projek penambakan berkenaan akan memberi kesan kepada alam sekitar dan kehidupan nelayan.
Baru-baru ini, sepanduk anti-Guan Eng yang mengatakan kedua-duanya tidak boleh dipecat juga muncul di pulau itu dan di Seberang Perai.

