Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri mempergiatkan pemantauan ke atas operasi yayasan bukan berasaskan keuntungan (NPO) bagi mencegah penyalahgunaan dana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata pemantauan penting bagi memastikan NPO yang mempunyai jumlah dana terkumpul melebihi bilion ringgit saban tahun tidak terlibat dalam kegiatan jenayah seperti penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Beliau berkata pemantauan juga termasuk terhadap yayasan yang berdaftar menikmati pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Pengecualian cukai melebihi RM1.3 bilion pada tahun 2014 misalnya merupakan kehilangan pendapatan kepada negara. Justeru, mana-mana yayasan yang diberi keistimewaan ini digesa untuk memastikan manfaat kepada orang awam harus setimpal dengan kehilangan punca pendapatan negara," katanya.

Nancy berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Simposium NPO 2016 bertajuk "Oleh Rakyat, Untuk Rakyat" anjuran BHEUU di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini hari ini, disertai 250 peserta yang berdaftar di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258).

Kini, terdapat 371 NPO yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan, sosial, pendidikan, kesusasteraan, agama dan saintifik yang berdaftar diperbadankan di bawah Akta 258 di seluruh negara.

Nancy berkata setakat ini tiada NPO berdaftar di bawah BHEUU yang terlibat dalam kegiatan jenayah atau pembiayaan keganasan.

"Mungkin ini akan berlaku maka BHEUU sebagai pengawal selia akan meningkatkan aspek pemantauan aktiviti yayasan-yayasan berdaftar melalui keperluan untuk Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan beraudit serta laporan program-program yayasan yang dikemukakan secara berkala," katanya.

Nancy berkata BHEUU juga sedang meneliti beberapa alternatif penambahbaikan terhadap pelaksanaan Akta 258 termasuk keperluan mewujudkan undang-undang subsidiari mahupun garis panduan yang komprehensif.

"Akta ini sudah terlalu lama. Maka, penambahbaikan ini adalah bagi memastikan akta ini akan terus relevan dalam konteks semasa. Antara penambahbaikan termasuk proses pendaftaran," katanya.

Beliau turut menyaran yayasan berasaskan kebajikan yang ditubuhkan di dalam negara berdaftar di bawah Akta 258.

"Kini pendaftaran yayasan-yayasan yang ditubuhkan bersifat sukarela namun saya sentiasa menggalakkan pemerbadanan pemegang amanah sesebuah yayasan berasaskan kebajikan dilaksanakan dibawah Akta 258.

Ini membolehkan yayasan yang diwujudkan mempunyai entiti perundangan dan memastikan kepentingan awam sentiasa dilindungi dan kebolehpercayaan dan amanah penyumbang kepada yayasan tersebut berada pada tahap yang tinggi," katanya.

- Bernama