ULASAN Sudah pasti anda kenal sangat hero seperti Superman, Batman, Spiderman, Iron Man dan sebagainya. Namun, sedarkah kita mengapa kebanyakan filem memaparkan watak superhero berbanding superheroin ? Mungkin kerana tidak banyak superheroin fiksyen.

Superheroin atau wirawati dalam kehidupan harian wujud di sekitar kita, sama ada di rumah mahupun dalam masyarakat, cuma tanpa jubah terbang, perisai kalis peluru atau sut besi yang berkilat.

Dunia atau hidup tanpa wanita adalah mustahil dan tarikh Mac 8 amat istimewa untuk menonjol dan meraikan wanita seluruh dunia serta mereka yang kita sayangi.

Perjuangan untuk pengiktirafan Hari Wanita Sedunia mempunyai sejarah revolusi yang amat dalam mengenai wanita-wanita berani yang menentang masyarakat patriaki untuk hak mereka pada zaman 1800-an.

Parti Sosialis Amerika meraikan hari ini pertama kalinya pada 1909 sempena memperingati mogok Kesatuan Pakaian Antarabangsa Pekerja Wanita di tahun 1908.

Kemudiannya Hari Wanita ini disambut oleh Sosialis di Jerman dan Komunis di Rusia.

Wanita telah turun ke jalan raya dan berjuang tanpa penat lelah sehingga kini bagi setiap hari wanita untuk mendapatkan hak saksama.

Tema antarabangsa hari wanita tahun ini ialah “Ikrar untuk Kesaksamaan” yang masih menunjukkan perjuangan lama yang panjang ini masih belum berakhir.

Wanita di seluruh dunia masih lagi menghadapi diskriminasi dan terdedah kepada eksploitasi.

Malahati ketua laksamana Aceh

Kita harus faham bahawa perkembangan kaum wanita tidak bermaksud kejatuhan kaum lelaki, tetapi ia menonjolkan masyarakat yang lebih progresif.

Bak kata aktivis wanita terkenal di zaman awal, lelaki dan wanita melengkapkan satu sama lain, kita perlukan pandangan wanita dalam hal ehwal negara untuk membina kerajaan yang selamat dan stabil.

Mari kita lihat sejarah Asia Tenggara yang kaya dengan pemerintah dan pahlawan wanita yang seringkali dilupakan.

Contohnya Malahati, ketua laksamana laut Kesultanan Aceh yang memerintah Wilayah Aceh moden di sekitar kurun ke-16.

Beliau merupakan ketua laksamana pertama dunia moden dan tenteranya terdiri daripada balu-balu wanita Aceh. Pasukan ini bernama ‘Inong Balee’.

Malahati mengetuai kapal perang yang mempunyai 2,000 pahlawan wanita berani. Bukan sahaja lanun, Portugis dan Belanda juga amat gentar dengan kemahiran perang Malahati yang tidak terbilang.

Permaisuri pertama Aceh iaitu Ratu Nibrasiyah Rawa Khadiyu telah memerintah kerajaan Samudra Pasai pada kurun ke-15.

Pada kurun ke-17, empat sultanah telah memerintah kesultanan Aceh Darussalam berturut-turut.

Aceh ketika itu juga mempunyai beberapa hulubalang wanita dan ketika pemerintahan Permaisuri Safiatuddin, 18 daripada 73 ahli parlimen adalah wanita.

Srikandi anti-British

Di tanah air kita pula, wanita telah memainkan peranan penting dalam politik dan sosial bersama dengan kaum lelaki semasa sebelum dan selepas kemerdekaan.

Srikandi Suriani dan Shamsiah Fakeh adalah antara ratusan perajurit wanita yang menentang imperialis British.

Jasa besar mereka untuk mencapai kemerdekaan dilupakan kerana sejarah mereka masih terselindung dan hanya dengan usaha tulen mengembalikan sejarah benar di sekolah dapat menghidupkan kembali sumbangan mereka.

Mari kita fokus kembali ke milenium ini, statistik menunjukkan separuh populasi dunia ialah kaum wanita bekerja 2/3 daripada jumlah jam kerja dunia, menerima pendapatan 11 peratus daripada pendapatan dunia tetapi hanya memiliki 1 peratus harta di dunia.

Tambahan pula, keganasan fizikal dan seksual merupakan masalah yang menjejaskan lebih dari satu per tiga wanita sedunia berdasarkan laporan World Health Organization (WHO) pada tahun 2013.

Sistem kapitalis moden telah menarik wanita ke pekerjaan bergaji, yang mana mereka adalah hampir separuh dari kuasa kerja nasional di kebanyakan negara.

Perkembangan ini secara sengaja diperlihatkan kepada wanita sebagai pembebasan sebenar yang realitinya berlainan.

Apa yang berlaku, beban wanita bertambah besar. Wanita masih perlu mengikut peranan gender dalam norma masyarakat yang mahu wanita yang bekerja menjadi suri rumah yang baik.

Maka kapitalisme lebih subur dengan tenaga kerja tambahan wanita yang turut bertanggungjawab ke atas tenaga kerja akan datang, iaitu anak mereka.

Keputusan untuk tubuh sendiri

Kaum wanita harus menentang bersama dengan kaum tertindas yang lain untuk mendapatkan pembahagian kekayaan yang diwujudkan bersama dengan serata.

Dalam konteks masa kini, wanita harus berjuang untuk kadar gaji minimum yang tinggi, masa kerja lebih singkat dan jaringan keselamatan pekerjaan.

Wanita harus melawan menentang diskriminasi gender dan menuntut hak wanita untuk mendapatkan maruah, kesaksamaan dan penghormatan.

Ini termasuk hak reproduksi yang membenarkan wanita buat keputusan sepenuhnya berkaitan tubuh dan kesihatan mereka.

Perkara-perkara berikut adalah kontradiksi ketara yang membelakangkan kedudukan wanita di seluruh dunia.

Setiap 8 Mac, ingatlah bahawa wanita ialah wirawati yang diperlukan dunia.

Sebagai langkah ke hadapan dalam memperingati jasa wanita, biar saya simpulkan dengan kata-kata semangat pemenang hadiah nobel:

“Saya yakin sosialisme adalah satu-satunya jawapan dan saya menyeru kepada semua rakan-rakan untuk mengambil perjuangan ini kepada kemenangan. Hanya ini akan membebaskan kita daripada belenggu ketaksuban dan eksploitasi.” - Malala Yousafzai

Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia yang progresif dan radikal kepada semua wanita.


​MADHAVI S penyelaras JERIT.