Pihak polis dikatakan akan mengadakan sekatan jalan raya dan menutup jalan ke tempat kursus Marxisme yang dirancang di kedai buku dan pusat diskusi Gerakbudaya di Petaling Jaya, Ahad ini.

Penyelaras kursus S Arutchelvan berkata demikian selepas pertemuan dengan ketua polis daerah (OCPD) itu hari ini.

“Polis tidak benarkan kita buat kursus ini kerana mereka terima 107 laporan polis,” kata anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu.

Arutchelvan berkata OCPD mencadangkan acara itu dibuat di universiti.

Setakat ini seramai 78 orang sudah mendaftar untuk mengikuti kursus itu, katanya lagi.

Sementara itu OCPD Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din engga mengulas isu itu ketika ditanya pemberita.

Pada 2 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sudah memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan terhadap orang awam yang hadir ke kursus Marxisme itu.