Bukan kita sahaja sebagai manusia merasai kesan cuaca panas terik yang melanda negara sekarang. Haiwan juga tidak terkecuali.

Ketika suhu terus meningkat, timbalan ketua pengarah Persatuan Zoologi Malaysia Rahmat Ahmad Lana berkata Zoo Negara telah mengambil langkah-langkah tambahan untuk memastikan haiwan di bawah jagaanya terus berada dalam keadaan "hidrat" dan sihat.

"Setakat ini, kami tidak nampak sebarang perubahan terhadap tingkah-laku ataupun impak ke atas haiwan berikutan cuaca panas terik yang berpanjangan.

"Kami akan terus memantau keadaan dan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak (haiwan) daripada mengalami kesan cuaca panas terik," kata beliau kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata langkah-langkah yang diambil termasuk menambah waktu mandi untuk haiwan, lebih kerap membersihkan dan memastikan kandang haiwan dalam keadaan sejuk dan memastikan haiwan mempunyai cukup air untuk minum dan

menyejukkan diri semasa cuaca panas terik sekarang, katanya.

Beliau berkata penjagaan tambahan kepada haiwan-haiwan juga akan dilakukan ke atas haiwan yang bunting.

Rahmat berkata tidak mungkin zoo akan menghadapi kekurangan air kerana Zoo Negara mempunyai rizab air sendiri di bawah tanah yang digunakan bersama sumber air lain untuk memenuhi keperluan.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 4,000 spesies haiwan di Zoo Negaera.

Malaysia kini mengalami cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh fenomena El Nino.

Keadaan ini dijangka berlarutan sehingga April dengan suhu dijangka paling panas Ahad ini kerana fenomena ekuinok.

- Bernama