Seorang pembantu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah membuat laporan polis berhubung satu 'screenshot' yang disiarkan di media sosial yang kelihatan seperti tweet oleh ketua menteri itu mengatakan dia akan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan disoal siasat berhubung kes rumah mewah di George Town.

"Saya membuat laporan polis berhubung perkara ini kerana paparan dan komen tersebut merupakan suatu tindakan fitnah jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," kata Yap Lee Ying, pengarah komunikasi bahagian penerangan kerajaan negeri, yang mentadbir akaun twitter Lim.

Laporan tersebut dibuat di balai polis Jalan Patani di George Town pada jam 11.21 pagi ini.

'Screenshot' yang dipaparkan oleh pengguna Facebook H'ng Khoon Leng menunjukkan bahawa Lim seolah-olah telah membuat satu komen dari akaun Twitter beliau yang berbunyi seperti berikut - “Saya akan ditahan dan disoal siasat SPRM ptg ini. Berhubung kes rasuah dlm pembelian rumah mewah di Georgetown. Doakan saya.”

Pengguna Facebook itu menyiarkan 'screenshot' dengan komen “Guan Eng or his troopers trying to play the sympathy game…hahaha…I doubt SPRM is so fast, my 2009 SPRM report on the bungalow, still not yet interview me”.

Yap berkata, sebagai pegawai yang mentadbir akaun Twitter Lim, beliau telah dimaklumkan mengenai kewujudan gambar berkaitan pada malam semalam tetapi hasil semakan mendapati tidak ada tweet yang berbunyi sedemikian di dalam akaun Twitter Lim.

Justeru, katanya, beliau membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana paparan dan komen tersebut menyebabkan orang dan masyarakat awam mempunyai prasangka buruk terhadap Lim berhubung dengan suatu isu yang tidak berasas.

Dalam pada ini, dakwanya, komen-komen beberapa individu terhadap gambar tersebut berbaur ugutan terhadap Lim.

Lim memang sedang disiasat oleh SPRM berhubung sewaan dan pembelian kediamannya sekarang, kerana ada yang mendakwa dia menyewa dan membelinya pada kadar yang jauh lebih murah dari kebiasaan.

Bagaimanapun, beliau masih belum dipanggil untuk diambil keterangan.

[Baca berita penuh]