Setahun selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Pemuda Pakatan Harapan akan mengadakan siri flash mob seluruh negara bermula 1 April ini.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin berkata walaupun kerajaan telah memperkenalkan kutipan cukai sebanyak enam peratus, namun ia masih gagal menyelesaikan masalah rakyat dari segi kos sara hidup yang meningkat.

"Kenapa kita pilih April 1? April 1 hari ulang tahun GST dilaksanakan. Walaupun cukai GST dipungut, kerajaan BN dilihat masih gagal selesaikan masalah rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Beliau juga berkata bahawa flash mob itu adalah untuk menggerakkan sokongan lebih besar belia bagi memansuhkan GST pada perhimpunan 2 April.

Selain itu katanya, ia sebahagian daripada usaha untuk 'Menyelamatkan Malaysia' yang menyeru peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menuntut perubahan institusi negara.

"Flash mob ini adalah permulaan kepada himpunan Mansuh GST pada keesokannya pada 2 April. (Ia) sebahagian dari usaha 'Selamatkan Malaysia'.

"Kami mengajak semua rakyat Malaysia bersolidariti dengan memakai pakaian hitam pada 1 dan 2 April. Selepas flashmob kita akan terus bergerak ke tempat himpunan 2 April dan berkumpul sehingga 2 April," katanya.

Sebelum ini Pakatan Harapan mengumumkan himpunan 'Selamatkan Malaysia' pada 28 Mac di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Sementara himpunan 'Mansuhkan GST' itu akan diadakan pada 2 April di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.