Varsiti 2001 'niat serong', Malaysiakini nafi terlibat
Malaysiakini.com hari ini menafikan pernah memberikan kebenaran kepada majalah Varsiti 2001 untuk menerbitkan semula berita-beritanya dan mendakwa ia dikeluarkan dengan "niat serong."
"Tidak pernah sesiapa (dari Universiti Malaya) minta keizinan," kata pengarang beritanya Fathi Aris Omar, apabila diminta mengulas kandungan majalah itu.
Malaysiakini menerima satu naskhah majalah itu petang tadi yang dihantar melalui pos. Pengirimnya tidak dapat dikenal pasti. Bagaimanapun berdasarkan cop pada setem, majalah itu dikirim semalam dari sebuah pejabat pos di Kuala Lumpur.
"Saya fikir tujuannya (penerbit) untuk memburuk-burukkan pihak tertentu, termasuk Malaysiakini.com. Dari segi susunan reka letak, foto dan tajuk, penerbit ini berniat serong," kata Fathi Aris lagi.
"Saya tidak fikir persatuan pelajar (di Universiti Malaya) berani menerbitkannya."
Majalah itu yang didakwa diterbitkan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) menyiarkan dua berita daripada malaysiakini . Kedua-duanya melaporkan kegiatan beberapa pemimpin pelajar universiti itu dalam Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis).
Pada halaman 31, majalah itu menerbitkan berita bertajuk 'Kami sanggup kurang ajar - Gamis'. Laporan itu asalnya diterbitkan oleh akhbar web itu dengan tajuk 'PTPTN: Siswa 'buat apa saja' untuk hapuskan bunga' (faedah bank) pada 16 April lalu.
Laporan itu tentang sekumpulan pelajar, termasuk Gamis dan MPMUM, yang menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan agar menghapuskan kadar faedah empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Majalah itu, pada halaman 39, menerbitkan berita malaysiakini berhubung demonstrasi siswa pada 23 Februari lalu bagi membantah pengeboman Amerika Syarikat terhadap Iraq. Gambar dan keterangannya yang digunakan tidak ada kaitan dengan berita itu, 'Pelajar bakar bendera Amerika, Britain.'
Hari ini, Setiausaha Agung Gamis Muhammad Faisal Abdul Rahman menafikan persatuan itu terlibat merancang penerbitan dan pengedaran majalah itu. Malah, beliau menyifatkan majalah berkenaan adalah edisi palsu.
"Gamis melahirkan rasa kesal terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba melakukan sebarang usaha untuk menjatuhkan maruah, imej dan nama baik Universiti Malaya dan seluruh warganya," kata Muhammad Faisal dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .
Sementara dalam suratnya kepada Naib Canselor UM Profesor Dr Anuar Zaini Mohd Zain, aktivis pelajar itu, yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM), menafikan dirinya dan persatuan itu mempunyai hubungan dengan Varsiti 2001 .
"PMIUM berharap polis akan bertindak menyiasat penerbitan majalah palsu tersebut dengan telus," katanya.
Beliau dilaporkan membuat aduan berhubung perkara itu di balai polis Brickfields petang semalam.
'Pekak badak'
Varsiti 2001 memuatkan 15 foto Perdana Menteri dengan pelbagai aksi, termasuk yang telah diubah suai dengan imej buruk, dan menggelarkannya 'mahafiraun' seperti sering diterbitkan dalam beberapa laman web proreformasi.
Kebanyakan foto berkualiti rendah seperti dicetak semula daripada bahan-bahan penerbitan lain.
Majalah itu juga menyifatkan Timbalan Perdana Menteri sebagai "si lembik (yang) pekak badak."
"Memanglah si lembik ini pekak badak. Tidak ada perikemanusiaan hingga menahan dalam akta ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) 10 orang pejuang negara. Bayangkan bagaimana jika si lembik sendiri ditangkap dalam akta zalim itu. Dengar suara pelajar," satu tulisan dalam Varsiti 2001 dipetik.
Poster kempen anti-ISA yang menunjukkan sembilan (waktu itu) aktivis reformasi yang ditangkap turut dimasukkan.
Selain dua pemimpin tertinggi negara, majalah itu pada halaman 62 turut menggambarkan beberapa menteri seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk S Samy Vellu, Datuk Hishammuddin Hussein, Tun Daim Zainuddin dan Datuk Aziz Samsuddin dengan pakaian tradisi raja Mesir purba, Firaun.
Varsiti 2001 itu juga menerbitkan senarai syarikat-syarikat yang didakwa dikuasai oleh anak-anak Perdana Menteri dan Pengerusi Renong Datuk Halim Saad dengan jumlah saham dan kekayaan masing-masing.
Selain itu, foto-foto pemimpin kanan pembangkang turut diterbitkan. Foto yang kerap diterbitkan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, timbalannya Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Mahfuz Omar.
Kira-kira 20 foto mengenai demonstrasi, termasuk perhimpunan reformasi di ibu kota sejak 1998.
Majalah setebal 92 halaman, termasuk empat muka surat berwarna, menyiarkan pandangan, berita dan kegiatan PMIUM dan Gamis yang telah diterbitkan dalam beberapa laman web, termasuk Harakahdaily.com . Setiap tulisan yang diambil daripada laman web dinyatakan sumber asalnya (URL).
Ia juga menerbitkan kata-kata aluan daripada Canselor universiti itu Sultan Azlan Shah dan Naib Canselor.
Pada halaman 4, terdapat senarai sidang pengarang Varsiti 2001 yang diketuai Maria Abd Majid dan halaman 6 menyiarkan senarai lengkap barisan pemimpin MPMUM, diketuai Mohd Fuad Mohd Ikhwan.

