Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau tidak menolak akan melanjutkan moratorium berhubung perlombongan bauksit di Kuantan jika semua aspek pematuhan tidak dipenuhi apabila moratorium sekarang berakhir pada 15 April ini.

"Terdapat banyak perkara yang perlu dipatuhi oleh pelbagai pihak, mereka yang menyediakan kemudahan dan kerajaan negeri Pahang.

“Jadi, jika terdapat mana-mana perkara-perkara ini (masih tidak dipatuhi), ada kemungkinan saya akan meminta kerajaan melanjutkannya.

"Ia bergantung kepada pematuhan," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengakui bahawa terdapat beberapa isu-isu pematuhan yang masih belum ditangani sejak moratorium berkuat kuasa pada 15 Januari lalu.

Antaranya, kata beliau adalah isu jalan raya khas yang ditetapkan untuk pengangkutan bauksit masih belum siap, spesifikasi lori belum dipenuhi dan kesediaan pelabuhan Kuantan untuk menerima semula eksport bauksit.

"Jadi sehingga saya dapat melihat perkara-perkara ini, barulah mereka boleh teruskan. Jika tidak, saya akan berfikir tentangnya," katanya.

Beliau berkata jika pengusaha bauksit gagal mematuhi keperluan berkenaan, mereka perlu menyediakan alternatif yang meyakinkan sesuai dengan garis panduan.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, beliau hanya akan membuat keputusan muktamad apabila tiba masanya.