K’jaan jelaskan kekeliruan levi pekerja asing
Kementerian Dalam Negeri hari ini menjelaskan jumlah levi yang dipungut dari pekerja asing menunjukkan dua angka berbeza kerana ia merujuk kepada dua perkara yang berbeza.
Kementerian itu berkata, levi itu mempunyai dua angka kerana ia dipungut dari pekerja baru dan pekerja sedia ada di negara ini.
Kenyataan itu dibuat memandangkan kekeliruan mengenai dua angka tersebut.
“RM254.62 juta hanya merujuk kepada levi yang dipungut kepada pekerja asing baru dari tahun 2010-2015.
“Manakala RM2.25 bilion merujuk kepada semua levi yang dipungut ke atas pekerja asing, termasuk pembaharuan permit bagi pekerja sedia ada, dari 2011 hingga 2015, “ kata kenyataan media kementerian itu.
Ia merujuk kepada jawapan bertulis yang diberikan kepada Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) pada 16 Mac dan Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) pada 21 Mac 2016.
"Oleh itu, kedua-dua angka yang diberikan merujuk kepada perkara-perkara yang berbeza berdasarkan soalan yang diajukan oleh ahli-ahli parlimen dan tidak ada percanggahan," katanya.

