Seorang bekas pengurus Bahagian Perhubungan Petani dan Pelanggan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berhadapan enam pertuduhan menerima suapan RM73,000 bagi mendapatkan kuota beras super tempatan 15 peratus hancur (ST15).

Hassin Mad Zin, 54, dituduh menerima suapan itu daripada dua individu antara 2013 dan 2014 di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap keenam-enam pertuduhan yang dikenakan.

Bagi lima pertuduhan, Hassin didakwa menerima suapan RM64,000 daripada pemilik Syarikat Berkat Zairul Enterprise, Rusli Abdullah sebagai dorongan untuk mendapatkan 200 tan metrik kuota beras ST15.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam cawangan Guar Chempedak dan Bank Islam cawangan Alor Setar antara September 2013 dan Januari 2014, menurut kenyataan SPRM.

Bagi pertuduhan keenam, Hassin didakwa menerima suapan RM9,000 daripada pemilik WH Awana

Enterprise, Wan Helmi Wan Darus sebagai dorongan untuk mendapatkan kuota sebanyak 30 tan metrik.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bank Islam cawangan Alor Setar pada pukul 1.38 tengah hari, 6 Ogos 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Hakim Zanol Rashid Hussain membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin untuk lima pertuduhan pertama dan RM7,500 dengan seorang penjamin untuk pertuduhan keenam.

Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Sofee Razak.

Kes akan disebut semula pada 26 April 2016.