Seorang lelaki maut dipercayai ditikam abangnya semasa bertengkar di kediaman mereka di Bandar Country Homes, Rawang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa berusia 20-an ditikam dengan pisau di bahagian badan dan disahkan mati di tempat kejadian, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar.

Abangnya yang berusia 40-an ditahan orang ramai tidak jauh dari lokasi kejadian, tambah beliau ketika dihubungi hari ini.

"Polis menerima panggilan dari orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 10.14 malam.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal dan telah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Marzukhi.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Katanya suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

- Bernama