Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekatan kerajaan Sarawak terhadap Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu tiada kaitan politik, kata seorang anggota parlimen negeri itu.

Menurut wakil Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, larangan terhadap Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu memasuki Sarawak mungkin disebabkan ucapannya yang tidak menjaga sensitiviti.

"Kalau (sekatan sebab isu) politik macam mana ada orang bukan politik juga tidak dibenarkan masuk?”

"(Presiden PERKASA Datuk) Ibrahim Ali tidak dibenarkan masuk Sarawak, (Dr) Ridhuan Tee (Abdullah) pun tak dibenarkan masuk. Adakah Ridhuan Tee terlibat dengan politik?

"(Mungkin) sebab kenyataan dia (Mat Sabu) yang sebenarnya boleh memberi sensitiviti kepada perasaan orang Sarawak dan boleh mengganggu-gugat keharmonian orang Sarawak.

“Atas sebab itu mungkin kerajaan negeri mengambil tindakan tersebut," kata menteri kerja raya itu kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Latar kompleks

Selain itu, Fadillah juga meminta semua pihak yang dihalang daripada masuk ke Sarawak untuk 'cermin diri' dan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab.

"Jadi kena cermin sendirilah siapa yang dihalang masuk Sarawak supaya menjadi warganegara yang bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian antara kaum dan agama.

“Apatah lagi Sarawak ini latar belakangnya begitu kompleks dari segi hubungan kaum dan agama," katanya yang juga merupakan ketua Pemuda BN Sarawak.

Semalam, Mohamad ( gambar ) dilarang memasuki Sarawak sebaik tiba di lapangan terbang Sibu. Menurutnya, beliau tidak diberikan sebarang alasan berhubung larangan tersebut.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang telah dihalang memasuki Sarawak atas pelbagai alasan.

Mereka antaranya Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, anggota Parlimen Subang R Sivarasa, anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Lihat Komen
ADS