Lim: Saya tak lari, mahu berdepan Rahman Dahlan
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan beliau melarikan diri daripada media ketika di parlimen awal hari ini.
Ketika ditemui pemberita sebaik kembali ke parlimen pada jam 7 malam, Lim segera bertanya di mana wartawan News Strait Times berada.
Beliau tidak berpuas hati dengan artikel mereka awal hari ini yang bertajuk ' Guan Eng flees Parliament, avoids questions on RM2.8 mil bungalow' .
(Guan Eng melarikan diri dari parlimen, elak soalan banglo bernilai RM2.8 juta).
"Saya tak melarikan diri. Saya ada temujanji.
"Saya kembali sekarang dan saya di sini untuk berdepan (Datuk) Abdul Rahman Dahlan. Beliau mencabar saya untuk datang dan saya di sini.
"Saya tidak melarikan diri, saya di sini, jadi biar dia datang, tanya saya sebarang soalan dan saya akan jawab," kata Lim.
Beliau mengulangi rasa tidak senang dengan NST dengan menyatakan beberapa kali bahawa beliau mempunyai temujanji.
Lim terdahulu dilihat berdiam diri apabila media menanyakan soalan kepadanya beberapa jam sebelum itu.
Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan tempatan, sebelum ini terlibat dalam perang Twitter dengan Lim berhubung pembelian banglo kontroversi oleh setiausaha agung DAP itu.
Rahman dijadualkan berucap dalam dewan malam ini bagi menggulung titah Yang di-Pertuan Agung.

