Mengambil tangggungjawab penuh berhubung skandal rasuah melibatkan dana RM100 juta bermaksud 'memperbetulkan perkara yang salah', kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

" Taking full responsibility (ambil tanggungjawab penuh) maksudnya saya kena perbetulkan keadaan.

"Kalau betul saya terlibat, itu akan ditunjukkan oleh siasatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan kementerian itu akan dijalankan secara bebas oleh pasukan dipilih oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika ditemui di luar Dewan Rakyat, Khairy mengulangi bahawa tanggungjawab beliau adalah untuk memberi kerjasama sepenuhnya.

Katanya, beliau tidak akan melindungi sesiapa daripada siasatan, termasuk dirinya sendiri.

Ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya beliau meletakkan jawatan, Khairy berkata perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

SPRM sebelum ini mendedahkan sembilan individu ditahan pada 17 Mac lalu, termasuk Setiausaha Bahagian Kementerian Belia dan Sukan berusia 56 tahun, yang dikatakan menjadi dalang sindiket penyelewengan dana berjumlah RM20 juta.

Kumpulan itu dikatakan aktif sejak 2010.