Polis soal siasat Kit Siang berhubung titah ucapan Agong
Polis hari ini merakamkan kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berhubung kenyataannya terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan semasa perasmian sidang Parlimen tahun ini.
Ahli parlimen Gelang Patah itu diarahkan hadir di Balai Polis Daerah Wangsa Maju petang tadi berikutan beberapa laporan polis yang dibuat atas kenyataannya itu.
Bercakap kepada pemberita, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh yang bertindak selaku peguamnya, berkata Lim disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
"Ini adalah berhubung laporan polis yang dibuat di Pulau Pinang. Mereka mengambil masa 20 minit untuk merakamkan kenyataannya," katanya.
Lim sebelum ini berkata, beliau hanya mengulas kedudukan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai raja berperlembagaan di negara ini dan tidak ada niat lain apabila mendakwa Seri Paduka hanya membacakan ucapan yang disediakan oleh kerajaan.
Seri Paduka pada titah ucapan ketika merasmikan pembukaan sidang parlimen keempat penggal ke-13 di Kuala Lumpur menyatakan hasrat supaya pentadbiran yang ada kini diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Yang di-Pertuan Agong juga menggesa ahli-ahli parlimen supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama hingga melelahkan rakyat dan kerajaan.

