Penjawat awam dituduh lapor maklumat cukai tak betul
Penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kluang hari ini atas lima pertuduhan melaporkan pendapatan tidak betul dalam borang taksiran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri melibatkan pendapatan berjumlah RM687,428 pada 2013.
Kalamullah Ali Raza, 47, didakwa memberi maklumat tidak betul dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada ketua pengarah LHDN berkaitan taksiran dari tahun 2007 sehingga 2011.
Dia didakwa membuat kesalahan itu pada 21 Februari 2013 di alamat No 15, Jalan Delima 4, di sini melibatkan pendapatan hasil jualan sawit dari 2007 sehingga 2011.
Menurut kertas pertuduhan, jumlah cukai terkurang yang harus dibayar Kalamullah sebanyak RM164,018.
Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 113 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang jika sabit kesalahan didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 serta penalti khas dua kali ganda daripada jumlah cukai yang terkurang.
Majistret Nuruhuda Mohd Yusuf memberi tempoh sebulan bagi Kalamullah mencari peguam dan meletakkan tarikh sebutan pada 21 April.
Kes itu dibawa oleh Peguam Kanan Hasil LHDN Norzilah Abdul Hamid.
- Bernama

