ULASAN l Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Datuk Nurul Hidayah anak kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terima kasih untuk kisah-kisah lampau tahun '98 dan bagaimana kesalnya saudari dengan keputusan tersebut.

Seluar terkoyak, ditembak air oleh FRU, tidak menjadi pelajar terbaik kerana sibuk berpolitik.

Sungguh hampir menitis air mata saya membaca kisah saudari. Namun hakikatnya tak semua beruntung seperti saudari.

Dengan surat yang ditulis oleh ibu telah berjaya membebaskan ayahanda daripada terus ditahan dalam ISA.

Pasca pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencetus kemarahan rakyat.

Daripada ahli politik, ahli akademik, aktivis NGO bahkan rakyat secara keseluruhan.

Tidak ada sesiapa pun yang dipaksa untuk turun ke jalanan. Apatah lagi 'dipergunakan' untuk turun menyertai demonstrasi.

Atas keyakinan ayahanda saudari ditahan tanpa apa-apa kesalahanlah saudari turun ke jalanan bukan?

Justeru, memang itu merupakan keputusan yang tepat ketika itu untuk keadaan itu.

Dan mungkin sahaja saudari tidak tetap dengan keputusan tersebut atas faktor keadaan saudari nan jauh berbeza sekarang berbanding 1998.

Hari ini saudari merupakan seorang ikon kepada anak muda. Seorang usahawanita, askar wataniah, dan macam-macam lagi.

Bukankah siapa kita dahulu dan apa yang kita lalui dahulu membentuk siapa kita hari ini? Dan tidakkah ingin saudari menjenguk individu yang dahulunya ayahanda saudari perjuangkan sehingga saudari sendiri 'dipergunakan' untuk turun ke jalanan?

Bisikkan pada ayahanda saudari, berilah ruang untuk beliau mendapat akses rawatan fisioterapi dengan sempurna.

Sebesar apapun kekesalan saudari dan keluarga akibat 'dipergunakan' pada tahun '98, tidak sepatutnya menjadi asas terhadap penafian rawatan beliau.

Justeru, saya ucapkan terima kasih kepada surat saudari.

Sekurang-kurangnya saya belajar tentang anak reformasi ini mampu mengorak langkah dengan lebih maju untuk negara tercinta.

Dan mungkin sahaja anak-anak muda kini baru mahu merasai pengalaman reformasi seperti saudari. untung-untung boleh jadi timbalan perdana menteri atau 'ikon belia' suatu hari nanti. InsyaAllah!


Penulis hanya mengenalkan dirinya sebagi ‘Saya-Cicadas’ dan adalah Generasi Reformasi Abad Ini. Menurutnya, cicadas adalah sejenis serangga yang hidup sebagai larva selama 17 tahun. Dan menjadi dewasa hanya dalam tempoh 3 hari.