Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata negeri itu akan mengalami bekalan air kritikal dari tahun 2017 hingga 2019.

Ia kerana kelewatan pembinaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat Dua yang dijangka siap pada tahun 2019.

"Projek Langat dua yang dijadualkan siap pada tahun 2017 dijangka berlaku kelewatan dan hanya siap dalam jangka waktu 2019.

"Maka tempoh 2017 hingga 2019 adakah tempoh yang kritikal kerana kelewatan Langat dua.

"Maka kita tidak ada pilihan oleh kerana kita ada sumber kewangan yang kukuh kita akan guna sebahagian daripada peruntukan ini untuk membina loji rawatan air yang baru di Labohan Dagang dan Semenyih.

"Kita percaya, dengan siapnya dua loji rawatan ini dapat menampung kegunaan air perawat dalam tempoh kritikal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Mitigasi Dua di Rawang hari ini.

Kata Azmin, kedua-dua projek loji rawatan air di Labohan Dagang dan Semenyih dijangka siap pada pertengahan 2017.

Azmin berkata, disebabkan penambahan penduduk di Selangor menyebabkan bekalan air di negeri itu berlaku peningkatan.

"Permintaan air meningkat, kepadatan penduduk juga meningkat kerana banyak rakyat berminat dan berhijrah ke negeri Selangor untuk mendapatkan pekerjaan.

"Sudah tentu permintaan itu (air) meningkat," katanya yang menganggarkan penduduk negeri Selangor merupakan pengguna air terbanyak di negeri itu.

Justeru beliau mengingatkan rakyat Selangor supaya menggunakan air dengan berhemah dan tidak membazir.

"Guna air secara bertanggungjawab. Guna air hujan untuk bercucuk tanam, basuh kereta, dan apa sahaja berkaitan kegunaan di luar kediaman kita.

"Selangor mencatatkan penggunaan 235 liter sehari bagi satu isi rumah. Ia perkara yang serius. Selangor pengguna air terbesar berbanding negeri lain.

"Kita mahu semua pihak bersama-sama supaya masalah bekalan air dapat diatasi," katanya.