'Donald Trump - the Ibrahim Ali of America'
Masyarakat perlu belajar bagaimana untuk berkompromi sekiranya ingin membuat perubahan terhadap negara.
Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, masyarakat juga perlu bijak untuk menyeimbangkan antara politik, ekonomi, agama dan kepentingan kaum.
Malah, dengan menjadikan demonstrasi sebagai contoh, katanya tiada apa-apa perubahan dapat dilakukan sekiranya masyarakat tidak berkompromi dan ingin mengamalkan politik “kasar”.
"Dalam negara yang pelbagai kaum, perlu bersabar, perlu berobjektif. Ia satu perjalanan yang panjang.
"Saya masih lagi kecewa. Ramai rakyat Malaysia kata mereka nak jadi rakyat Malaysia tetapi kita lupa tentang bangsa Dayak, Murut. Kita lupa kaum lain kecuali tiga kaum terbesar.
"Masyarakat perlu banyak berkompromi. Untuk pemimpin muda, anda perlu belajar untuk berkompromi. Sebab pada akhirnya kalau anda berkeras dengan kepentingan anda, anda perlu mendapatkan orang yang mempunyai pemikiran yang sama untuk mengubahnya.
"Kerana negara ini ada kepelbagaian (kaum). Anda tidak boleh melakukannya dengan kumpulan yang kecil. Dan untuk mendapatkan orang ramai supaya mendengar agenda anda tidak mudah kerana negara ini mempunyai kepelbagaian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ucapan perasmian program National Unity Youth Fellowship 2016 oleh Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) di ibu negara hari ini.
Selain itu, anggota parlimen Pulai itu juga mempertikaikan keputusan rakyat Amerika Syarikat yang sebelum ini ditonjolkan sebagai sebuah negara demokrasi namun kini mempertimbang individu perkauman sebagai calon presiden.
Beliau secara berseloroh menggelarkan calon presiden dari parti Republican Donald Trump sebagai “Ibrahim Ali of America”.
Jazlan berkata, perkara itu membuktikan bahawa walaupun di sebuah negara demokrasi, isu perkauman tetap menjadi perkara serius yang perlu diambil kira.
"Parti Republican meletakkan Donald Trump - the Ibrahim Ali of America sebagai calon presiden mereka. Menang atau tidak saya tidak tahu.
"Tetapi ini contoh negara yang mempamerkan demokrasi kepada semua orang tetapi masyarakat mereka lebih suka seseorang yang bersifat perkauman dan yang boleh dikatakan sebagai bodoh untuk calon presiden mereka," katanya lagi.

