'Saman Dr M ke atas Najib tak ditujukan kepada 1MDB'
Saman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ditujukan kepada 1MDB, kata presiden firma pelaburan negara itu, Arul Kanda Kandasamy.
"Saya tidak biasa dengan tuntutan mahkamah, (tetapi) saya tidak fikir ia ditujukan kepada 1MDB dalam apa jua cara," katanya semasa di temu bual dengan stesen radio perniagaan BFM hari ini.
Arul Kanda berkata demikian ketika ditanya sama ada tuntutan mahkamah tersebut sebagai gambaran negatif kepada pengurusan 1MDB.
Mahathir bersama bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan saman terhadap Najib bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.
Ketiga-tiga plaintif adalah sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.
Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.
Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.
Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Najib menyalah-gunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.
Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.
Arul Kanda juga melahirkan kekecewaannya dengan Mahathir yang berulang-kali dakwanya membuat tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB.
"Mahathir kata RM42 bilion hilang dari 1MDB, kemudian mengubah dan berkata RM26 bilion atau RM27 bilion hilang, dan kemudian ia menjadi beberapa berbilion hilang dan sebagainya.
"Beliau tidak pernah sekalipun berjaya menyokong pelbagai kenyataan yang dibuatnya. Kami dapati bahawa ini amat mengecewakan," katanya.

