Pemuda Umno Pulau Pinang hari ini mengemukakan bukti terbaru yang didakwanya mengenai kelulusan penjualan tanah di Taman Manggis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Ketua Pemuda Kepala Batas Muhammad A'fif Osman yang mewakili Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, berkata pihaknya mengemukakan laporan yang menurutnya berhubung dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah yang diperuntukkan untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu.

A'fif, bagaimanapun berkata kandungan dokumen bahan bukti terbaru itu tidak boleh didedahkan pada masa ini agar tidak menjejaskan siasatan SPRM.

"Saya meminta SPRM supaya menyiasat dengan lebih terperinci bagi mengelak daripada berlakunya sebarang penyelewengan dalam proses penjualan tanah itu," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan dokumen itu, di pejabat SPRM di George Town hari ini.

Beliau turut mendakwa penjualan tanah di Taman Manggis kepada sebuah syarikat swasta, Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) dibuat di bawah harga pasaran.

Isu tanah di Taman Manggis dan pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bermula apabila ia dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, yang meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta itu, sedangkan nilai semasa rumah itu lebih RM3 juta.

- Bernama