Pemimpin-pemimpin politik, peguam dan rakan hari ini hadir ke ke rumah Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak polis enam tahun lalu, bagi memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut hadir dan menyatakan rasa syukur atas kemenangan keluarga arwah menyaman Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim, yang ketika kejadian bertugas sebagai ketua polis negeri.

"Kita hadir untuk menyatakan sokongan moral kepada keluarga allahyarham.

"Sudah tentu ia satu kehilangan yang besar kepada keluarga allahyarham dan saya, Datuk Seri Wan Azizah (presiden PKR) menyatakan sokongan kepada ibu (Aminulrasyid) dan keluarganya.

“Dan kita doakan roh Allahyarham mendapat husnul khatimah , pengakhiran yang baik dan ditempatkan di syurga.

"Ini bukan soal pampasan yang telah ditetapkan oleh mahkamah tetapi adalah maruah keluarga beliau dan keluarganya yang telah difitnah sebagai seorang penjenayah,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke rumah allahyarham di Shah Alam petang tadi.

Turut hadir exco kebajikan Selangor Dr Daroyah Alwi dan peguam keluarga, Latheefa Koya dan N Surendran.

Rakan-rakan Aminulrasyid turut memenuhi perkarangan rumah keluarga allahyarham.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memerintahkan defendan, termasuk Khalid membayar ganti rugi kepada keluarga Aminulrasyid RM414,800 termasuk RM100,000 bagi kemungkiran awam oleh Khalid.

Saman itu difailkan pada 17 April 2013 oleh kakak remaja itu, Nor Azura, 46, atas kapasiti sebagai pentadbir harta Aminulrasyid, bersama ibunya, Norsiah Mohamad, 67, masing-masing sebagai plaintif pertama dan kedua untuk menuntut ganti rugi atas alasan kecuaian Koperal Jenain Subi, 54, dan tiga yang lain.

Sementara itu, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamed, 66, berkata dia amat bersyukur dengan kemenangan yang diberikan oleh mahkamah semalam.

Norsiah berkata kemenangan itu secara tidak langsung telah membersihkan nama baik keluarganya serta anaknya.

"Saya ucapkan kesyukuran yang teramat kerana apa yang saya minta selama ini Allah dah makbulkan, itu sahaja.

"Keputusan yang kita dapat Alhamdulillah. Bukan kerana wang tapi bersihkan maruah saya, keluarga saya, anak saya. Maruah bukan boleh dibayar dengan wang ringgit," katanya.

Rakan Amirulrashid, Irfan Atiffe Mohd 21, berkata beliau bersyukur apabila kes tersebut memihak kepada allahyarham.

“Saya reda dengan pemergiannya, dan masih rindu dekat dia, saya anggap dia (arwah) sebagai kawan baik saya.

“Memang dari dulu harap kes ini akan menang, semalam saya tengok berita, alhamdulillah kes ini menang,” katanya yang berkawan dengan Amirulrashid sejak berusia 12 tahun.