Seramai 76 warga China dan Taiwan serta seorang lelaki tempatan ditahan semalam kerana dipercayai terlibat dengan sindiket Macau Scam di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene berkata kesemua 57 lelaki dan 20 wanita itu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan dalam tiga serbuan serentak di Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada 2.30 petang.

"Seramai 25 anggota polis daripada Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia serta JSJK Bukit Aman melakukan serbuan di pusat sindiket operasi itu di Taman Melawati Indah, Taman Sri Ukay di Hulu Klang dan Seremban," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya sindiket itu menjadikan banglo dan rumah teres dua tingkat yang dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi sebagai pusat operasinya.

Mortadza berkata siasatan awal mendapati 36 warga China dan 40 warga Taiwan memasuki negara ini secara sah namun menyalahgunakan dokumen perjalanan mereka untuk tujuan jenayah.

Modus operandi sindiket itu menyasarkan rakyat China dan Taiwan dengan anggotanya menyamar sebagai pegawai bank atau pegawai polis yang akan membuat panggilan kepada mangsa meminta mereka melunaskan kononnya pinjaman atau kad kredit.

Semua suspek ditahan reman empat hari mulai hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan IPD Seremban untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan atas talian.

Di GEORGE TOWN, polis menahan 21 warga China dan seorang lelaki tempatan berusia 21 hingga 43 tahun, yang dipercayai anggota sindiket Macau Scam, dalam serbuan di sebuah banglo di Persiaran Nuri, Bayan Lepas malam tadi.

Sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, JSJK Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Barat Daya menyerbu banglo itu kira-kira 9.15 malam dan mendapati 22 individu termasuk seorang wanita di situ.

"Warga China itu dipercayai operator kepada sindiket Macau Scam manakala lelaki tempatan berperanan sebagai pembekal makanan mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

Sumber itu berkata serbuan di banglo berkenaan adalah susulan operasi pertama di sebuah kondominium, kira-kira 100 meter dari situ, yang dijadikan tempat pemasangan router dan modem yang memancarkan isyarat internet (wifi) ke

tempat operasi mereka.

Serbuan dibuat berdasarkan alamat IP yang disalurkan polis China berikutan ramai warga negara itu ditipu sindiket Macau Scam, katanya.

Susulan serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket itu bagi menjalankan operasi mereka termasuk komputer riba, router, telefon dan modem.

Semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter mengucapkan tahniah kepada JSJK Bukit Aman dan JSJK Pulau Pinang ekoran kejayaan mengempur operasi haram Macau Scam berkenaan.

- Bernama