Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kisah 1MDB boleh diambil iktibar, kata Arul Kanda
Diterbitkan:  Mar 26, 2016 8:39 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata terdapat

pengajaran yang boleh diambil iktibar daripada pengalaman syarikat itu.

Beliau merumuskan bahawa semua entiti harus lebih telus dalam pelaporan mereka, perlu mengurangkan hutang yang berlebihan dan risiko yang tinggi dalam pengurusan syarikat.

"Antara pengajaran yang boleh dipelajari daripada pengalaman 1MDB ialah penggunaan hutang yang berlebihan harus dikurangkan.

"Pengambilan beberapa projek yang begitu besar dan kompleks di bawah satu syarikat sahaja juga mungkin perlu dilihat kembali," katanya dalam rancangan temu bual 'Business Plus' terbitan stesen televisyen Astro Awani hari ini.

Beliau berkata syarikat milik kerajaan seperti 1MDB harus berkomunikasi secara berterusan, telus dan terbuka serta perlu menjawab isu yang berkaitan dari awal lagi, iaitu sejak tahun 2009, bukannya mulai 2015.

"Ini adalah apa yang kita boleh pelajari daripada apa yang telah berlaku pada 1MDB. Insya-Allah, dengan pengajaran tersebut, kami semua dapat mara ke hadapan," katanya.

Arul Kanda berkata penjualan Edra Global Energy Bhd telah berjaya mengurangkan hutang 1MDB dan ia turut mempunyai lebihan tunai sebanyak RM2.3 bilion untuk meneruskan aktiviti berkaitan infrastruktur Tun Razak Exchange (TRX) dan membayar faedah untuk hutangnya yang lain.

Katanya separuh daripada hutang 1MDB adalah dalam bentuk dolar AS dan jumlah hutang tersebut berubah mengikut kadar tukaran ringgit berbanding mata wang tersebut.

Beliau turut memetik laporan Moody's Investors Service baru-baru ini bahawa 1MDB tidak pernah menjadi isu sistemik kepada ekonomi negara.

"Selepas penjualan Edra Global Energy Bhd, isu tersebut semakin berkurangan.

"1MDB hanyalah sebuah syarikat yang mengalami masalah perniagaan, yang telah dipolitikkan, tetapi ia telah mengambil langkah rasionalisasi untuk mengurangkan beban hutang dan mara ke hadapan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS