Saya tak risau, tak nangis dibenci, kata anak Zahid
Anak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah mengakui beliau tidak risau, malah tidak pernah bercerita atau menangis kerana kritikan “pembenci”.
Menurut ikon belia itu, apa yang dilalui sejak zaman sekolah, universiti hingga ke alam pekerjaan tidak pernah diceritakan kepada ayahnya.
"Saya ambil pendekatan biarlah orang benci kerana dengan benci akan datang (timbul) kasih-sayang.
"Saya tidak boleh halang orang sama ada untuk benci atau suka saya. Mungkin mereka tidak kenal saya," katanya dalam wawancara yang disiarkan Harian Metro , hari ini.
Sebelum ini nama Nurulhidayah tiba-tiba meletup apabila beberapa pandangan beliau termasuk mengenai isu pengambilan 1.5 juta pekerja asing menjadi kontroversi.
Beliau pernah bertelagah dengan selebriti Internet Amran Fans selepas diejek supaya bekerja operator khidmat panggilan bagi menyahut cabaran bapanya supaya Rakyat Malaysia melakukan “kerja kotor, sukar dan bahaya”.
Mengulas perkara itu, Nurulhidayah, 38, berkata beliau tidak pernah menyatakan sokongan atau bantahan mengenai cadangan itu malah tidak sesekali mencampuri urusan kerajaan.
"Saya tidak bercita-cita untuk menjadi menteri. Saya seperti orang lain yang ada pendapatan sendiri, cuma kebetulan saya anak kepada timbalan perdana menteri.
"Saya juga tidak menyokong kemasukan 1.5 juta pekerja asing kerana kerajaan perlu buat banyak pemantauan, banyak kajian sebelum ambil keputusan," katanya dipetik sebagai berkata.
Terima Datuk sudah lama
Sementara itu, ditanya mengenai gelaran Datuk yang diterimanya pada usia masih muda dan dipersenda warga maya, beliau berkata anugerah tersebut dikurniakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah empat tahun lalu.
"Saya dianugerahi gelaran datuk sebelum bapa saya dilantik sebagai timbalan perdana menteri lagi. Pada saya tidak perlu dipersendakan kerana ia satu kurniaan.
"Gelaran datuk berhak diberi kepada sesiapa saja yang diperkenankan, jadi mengapa mahu mempersendakannya," katanya sambil menegaskan beliau tidak mengangkat diri dengan gelaran tersebut.

