16 hari, 340km, antibauksit sampai ke KL
Setelah berjalan kaki 16 hari, sejauh 340 kilometer, kumpulan antibauksit Red2Green akhirnya sampai ke Dataran Merdeka hari ini.
Mereka akan bertolak dari Dataran Merdeka pagi esok menuju ke stesen terakhir – parlimen – untuk menyerah memorandum kepada anggota parlimen.
Pagi tadi, kira-kira 30 peserta antibauksit berjalan kaki dari Sentul. Kumpulan itu bertambah kepada 50 orang apabila tiba di Dataran Merdeka.
Mereka dibenarkan memasuki kawasan bersejarah itu. Bagaimanapun, kumpulan itu tidak berkhemah sebaliknya memilih tidur di hotel berdekatan.
"Kami bimbang akan keselamatan kami, maka 15 orang yang masih di sini akan menyewa tidur di hotel dan lain pula sudah balik," kata Rozan Azen yang mengetuai perjalanan hari ini.
Edar risalah, nyanyi dengan buskers
Sambil menuju ke Dataran Merdeka, peserta mengedar risalah menolak perlombongan bauksit di Kuantan. Kelihatan juga kereta memberi 'hon' tanda sokongan.
Kumpulan itu juga singgah di beberapa tempat seperti di KLCC dan Masjid Jamek sambil membuat flash mob .
Sampai di pusat beli belah SOGO, mereka disambut penyanyi jalanan yang menyambut mereka.
Anggota parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata kumpulan itu bukan semata-mata mahu menyerahkan memorandum kepada anggota parlimen sebaliknya bertujuan meningkatkan kesedaran awam.
"Kalau hantar memorandum, kita boleh menaiki kereta atau bas (ke parlimen),” katanya.
Program berjalan kaki Red2Green kumpulan anti-bauksit ini mengambil masa selama 17 hari, esok mereka akan menghantar memorandum kepada anggota parlimen di parlimen.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut hadir ke SOGO dan menyeru semua rakyat berjuang bersama-sama dengan penduduk Kuantan.
"Kita solidariti dengan orang Kuantan kerana siapa nak lihat pencemaran.
"Kita menjaga alam sekitar, tolak bauksit. Kita teruskan perjuangan," katanya dalam ucapannya.

