Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rundingan agih kerusi DAP, PKR di S'wak belum selesai

Masa semakin hampir untuk Tan Sri Adenan Satem memanggil pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang, tetapi DAP dan PKR masih belum membuat keputusan parti mana yang akan bertanding di baki sembilan kerusi yang membabitkan tuntutan bertindih antara kedua parti itu.

Ia belum selesai walaupun Pakatan Harapan telah mengadakan empat pusingan rundingan mengenai agihan kerusi sejak tahun lepas.

Menurut sumber, parti-parti berkenaan telah berjaya "menyelesaikan beberapa kerusi" dalam pelbagai perbincangan, kerana PKR pada asalnya mahu bertanding sekurang-kurangnya di 38 kerusi, manakala DAP menuntut 40 kerusi untuk calon-calonnya.

Mereka berjaya mengurangkan jumlah kerusi yang menjadi rebutan - dari lebih daripada 10 kerusi kepada sembilan kerusi, kata sumber itu.

Tidak menghairankan, kedua-dua parti itu berkeras untuk bertanding di Senadin dan Batu Kitang, kedua-dua kerusi majoriti pengundi Cina. Masyarakat Cina di Sarawak dilihat sebagai penyokong kuat pembangkang.

Parti komponen BN - Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) - hampir tewas kepada PKR di Senadin, yang merupakan kerusi separa bandar. SUPP menang dengan majoriti tipis 58 undi dalam pilihan raya negeri 2011.

Batu Kitang adalah satu-satunya kerusi majoriti pengundi Cina berhampiran Kuching yang telah diwujudkan dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu tahun lepas.

Yang ketara, PKR dan DAP turut mengintai dua kerusi DUN - Mulu dan Marudi - keduanya di bawah Parlimen Baram, yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti 194 undi.

Sumber dalam PKR berkata parti-parti berkenaan berkeras untuk bertanding di Tasik Biru, yang menjadi rebutan berikutan perpecahan dalam parti komponen BN - Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

ADUN Tasik Biru, Peter Nansian Ngusie meninggalkan SPDP untuk menyertai TERAS - sebuah parti serpihan, dan parti barunya itu mahu beliau bertanding lagi di kerusi itu

Kerusi lain yang menjadi rebutan ialah Mambong, Simanggang, Lambir dan kerusi baru, Bukit Semuja, kata satu sumber.

Isnin lepas, Adenan berkata, beliau akan memuktamadkan calon-calon BN pada akhir bulan ini dan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri selepas itu.

Ketika dihubungi, Pengerusi DAP Sarawak, Chong dan Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

"Hanya kurang daripada satu per sepuluh (daripada 82 kerusi DUN) yang tidak dapat diselesaikan," kata See.

Bagaimanapun, mereka berdua yakin rundingan mengenai agihan kerusi `itu akan dimuktamadkan secara baik, dan mereka akan dapat menguruskan pertandingan satu lawan satu di semua kerusi.

Sementara itu, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling, yang menganggotai jawatankuasa negeri yang memilih calon, berkata kedua-dua parti itu akan mengadakan perbincangan akhir dalam masa dua minggu lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS